Online Diary My blog,My story;: Hakisan Pantai - Batu Pahat akan hilang dari peta dunia?

Sunday, 20 March 2011

Hakisan Pantai - Batu Pahat akan hilang dari peta dunia?

Hakisan Pantai di sepanjang pantai Batu Pahat semakin teruk...semakin hari semakin menghampiri penempatan penduduk...baca artikel di bawah dan apa pendapat anda.





Tindakan segera perlu diambil bagi memelihara Pantai Teluk Wawasan, di Parit Salam Simpang Lima dekat sini agar hakisan teruk yang berlaku di pantai berkenaan dapat dikawal.


Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Dr Abdul Aziz Datuk Abdul Samad berkata, sekiranya tindakan segera tidak diambil akan hilanglah pantai yang menjadi punca rezeki penduduk selama ini.


``Walaupun air di sini nampak tenang tetapi terdapat tenaga yang kuat di bahagian bawah yang menjadikan ombak kuat dan menghakis tepian pantai,'' ujarnya ketika melawat pantai berkenaan baru-baru ini.


Tambahnya, ia merupakan hakisan yang paling teruk setakat ini jika dilihat daripada kajian yang telah dibuat bermula dari Tanjung  Piai hingga Muar dan perlu tindakan segera.


Beliau menambah langkah yang segera adalah membuat tembok pemecah ombak dalam jarak 100 hingga 200 meter jaraknya dari tepi pantai iaitu di laut, supaya kesan kekuatan ombak dapat dikurangkan sebelum ia tiba ke kawasan pesisir pantai


Ia katanya dapat mengawal ombak dari terus memukul pantai tetapi ombak sampai ke tembok berkenaan dan kemudian mengalir perlahan ke tepi pantai yang akan membuatkan pasir terkumpul dan menjadikan tepi pantai bertambah cantik.  


Beliau meninjau lokasi pantai berkenaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin serta pakar bahagian kajian pantai UTHM, Zulkifli Ahmad juga Dr. Tan Lai Wai dari Jabatan Kejuruteraan Air dan Persekitaran, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM.


Menurut beliau, hakisan sepanjang pesisir pantai ini kini berada pada tahap amat kritikal berikutan keadaannya semakin menghampiri penempatan serta kawasan berpenduduk padat .


Abdul Aziz menambah sepanjang pesisir .khususnya sepanjang 20 kilometer (km) dari Semerah hingga ke Tampok, dekat  sini berada daam keadaan yang amat membimbangkan kerana hakisan yang terjadi semakin bertambah


Beliau juga memberitahu bahawa beberapa lokasi di daerah ini telah dikenal pasti berada dalam keadaan kritikal ekoran hakisan itu termasuklah Minyak Beku, Tanjung Laboh, Koris, Parit Balau, Sungai Lurus, Punggur, Sungai Ayam, Sungai Suloh dan Tampok.


``Beberapa langkah perlu diambil segera iaitu untuk jangka masa penek dan panjang kerana bimbang ia memberi kesan kepada kehidupan penduduk di kawasan ini dan telah terjadi tanah dan kebun penduduk telah menjadi lautan,'' jelasnya.


Tambahnya lagi sejak tahun 1970-an  satu meter pantai di daerah ini akan terhakis dan ia merupakan satu fenomena yang perlu segera ditangani bagi memelihara pantai serta pokok bakau yang menjadi warisan di negeri Johor ini.


Kesan hakisan berkenaan katanya menyebabkan ekosistem terutama hutan pokok bakau negara yang diiktiraf sebagai antara tertua di Asia, kini mula mengalami kemusnahan secara total selain akan menenggelamkan kawasan pesisir pantai sepanjang negeri ini buat selama-lamanya. 


Menurutnya lagi,  kajian yang siap dibuat tahun lalu juga mendapati hakisan di sepanjang pantai daerah ini berada pada tahap paling teruk berbanding kawasan hakisan di Tanjung Piai, Pontian sehingga ke Muar kerana ia semakin menghampiri kawasan penempatan manusia. 


“Banyak pokok-pokok bakau yang menjadi penampan semulajadi ombak kawasan pantai daerah ini sudah mati dan tumbang berikutan tanah pantai lembut akibat dihakis ombak kuat dan paras air laut yang semakin meningkat,'' ujarnya.


Beliau menambah, laporan kajian berkenaan telah diserahkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut dan pihaknya telah mencadangkan supaya benteng-benteng sementara perlu dibina di sepanjang pantai mengikut spesifikasi yang telah disarankan supaya hakisan dapat dikawal. 


Sementara itu Ariss berharap agar pihak berkenaan memandang serius kesan hakisan di beberapa kawasan di daerah ini terutama di kawasan Pantai Teluk Wawasan kerana ia semakin membimbangkan penduduk serta kira-kira 60 nelayan menjalankan aktiviti harian di kawasan berhampiran pantai. 


``Pantai Teluk Wawasan ini amat kritikal kerana ombak yang menghakis pantai amat kuat kerana ia menghadap Selat Melaka di mana ombak kuat terhasil menerusi faktor tiupan angin semulajadi dan akibat kapal besar yang melalui laluan berkenaan. 


Tambah beliau, cadangan dan formula UTHM itu perlu diteliti dan diguna pakai kerana ia akan memberi manfaat kepada penduduk sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.


tamat
Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

2 comments:

  1. Dulu pantai ni tempat masyarakat setempat beriadah...kini sunyi kerana semakin hari hakisan pantai semakin teruk sehingga menjejaskan panorama menarik di situ.

    Pokok2 bakau mula tumbang dan mati dek hakisan. Bayangkan kalau ombak kuat. Pantai ini juga pernah terkena tempias tsunami yang berlaku beberapa tahun lalu menyebabkan jeti tempat beriadah musnah...mudah-mudahan tiada tsunami di negara kita ini...

    ReplyDelete
  2. adakah kawasan pantai masih terhakis dan teruk pada ketika ini?

    ReplyDelete

 
Copyright © . All Right Reserved by Azura Emme